Tuesday, August 10, 2010

BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK DATANG MENJELMA

Assalammualaikum,
Bulan Ramadhan Al-Mubarak sekali lagi menjelma. Sudah setahun ia menghilang dan kali ini ia datang kembali dengan penuh keberkatan dan limpah rezeki yang banyak. Bulan yang penuh dengan keberkatan rahmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T terhadap umat Islam Nabi Muhammad S.A.W. Bulan dimana segala dosa akan diampunkan oleh Allah dan segala pahala yang hebat akan dikurniakan oleh Allah terhadap umatnya yang kuat beribadah serta ikhlas. Namun disebalik kesempurnaan dalam beribadah puasa dinegara kita ini, janganlah kita lupa akan saudara-saudara islam kita terutamanya di bumi Allah Palestin yang sedang ditindas oleh pihak Israel Laknatullah kerana mereka tidak mungkin dapat mengerjakan ibadat puasa setenang dan sesempurna kita di Malaysia. Kita umat Islam di Malaysia ini patut bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan oleh Allah tidak seperti di negara Palestin yang dijajah. Bulan Ramadhan juga bukanlah bulan dimana kita perlu membazir serta boros dalam perbelanjaan hari-hari kerana inilah bulan dimana kita dapat berjimat dalam keperluan seharian kita dengan hanya berbelanja untuk keperluan bagi berbuka serta bersahur sahaja. Bulan Ramadhan juga dapat mengajar kita agar dapat menyelami hati dan perasaan, apa yang sedang dirasai oleh seorang fakir miskin yang menahan kelaparan akibat tidak mendapat bekalan makanan. Oleh itu kita haruslah insaf dan sedar bahawa kalau kita rasa diri kita seorang yang miskin tidak mendapat makanan, ada lagi insan yang lebih miskin daripada diri kita yang kelaparan tidak mendapat makanan langsung hatta sekeping roti pun. Akhir kata sempena dengan kedatangan bulan Ramadhan 1431 ini kita dapat menginsafi segala dosa yang telah dilakukan selama ini serta banyakkanlah ibadah kerana bulan Ramadhan merupakan bulan untuk kita mendapat segala keberkatan dari Allah S.W.T. Selamat berpuasa.
Wassalam.

Wednesday, June 2, 2010

SELAMATKAN GAZA DAN RAKYAT PALESTIN DARI KEKEJAMAN ZIONIS ISRAEL

Pada tanggal 31.05.2010 akan dikenang oleh umat Islam seluruh dunia sebagai hari yang malang, apabila pihak komando Israel telah menunjukkan sikap mereka yang kurang ajar dan tidak bertamadun apabila mereka menyerang sebuah kapal bantuan kemanusian untuk rakyat Palestin di lautan antarabangsa. Kita sebagai umat Islam mesti mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang tidak berperikemanusian ini terhadap segolongan manusia yang secara sukarela ingin membuat kebaikan kepada orang lain yang dalam kesusahan. Negara-negara Islam mesti bersatu padu untuk bekerjasama bagi berusaha memberi tekanan kepada pihak Israel supaya bertanggungjawab terhadap kematian pekerja sukarelawan dalam tragedi serangan tersebut. Negara-negara Islam perlu berusaha agar mencari satu jalan bagi mendesak supaya pihak Israel tunduk mendengar tekanan pihak antarabangsa. Namun dengan desakan sahaja tidak akan memberi kesan kepada pihak Israel Zionis selagi Amerika Syarikat masih dibelakang mereka. Salah satu cara ialah dengan memberi tekanan ekonomi kepada pihak Israel kerana negara-negara Islam jika bersatu padu memberi tekanan ekonomi terutamanya dari segi minyak, maka sekurang-kurangnya pihak Israel Zionis akan terasa bahangnya untuk mengikut kehendak masyarakat antarabangsa. Diharapkan umat Islam seluruh dunia terutamanya melalui OIC perlu bertindak tegas dari sekarang kerana sudah lama pihak Israel memperlekehkan OIC kerana sebab orang Islam sendiri tidak bersatu-padu menentang kezaliman pihak Israel Zionis tersebut. Kita sebagai hamba Allah yang kerdil lagi hina ini kena banyak berdoa selalu kepada Allah supaya segala kezaliman pihak Israel terhadap umat Islam Palestin akan mendapat pembalasan yang setimpalnya kelak. Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar. Sekian.

Thursday, February 4, 2010

BERHATI-HATI DENGAN KESELAMATAN DIRI, KELUARGA DAN HARTA BENDA ANDA

Bulan Januari 2010 merupakan bulan yang akan dikenang sebagai bulan yang penuh dengan dugaan dan cabaran bagi diri saya dan isteri. Mana tidak dalam bulan Januari tersebut, 2 kejadian yang selama ini tidak pernah terlintas dalam hati saya akan terjadi telah betul-betul terjadi dalam hidup saya dan isteri saya. Kejadian pertama ialah dimana rumah saya telah dimasuki oleh pencuri dimana pencuri tersebut telah mencuri 2 butir cincin, satu adalah cincin emas pertunangan saya dengan isteri dan satu lagi cincin berlian, hadiah perkahwinan saya kepada isteri saya semasa kami berdua berkahwin pada tahun 2000. Kejadian kedua ialah dimana tayar hadapan motorsikal saya telah dicuri oleh pencuri termasuk dengan 'Sport Rim'nya sekali. Namun pencuri tersebut tidak sempat untuk mencuri tayar belakang walaupun pencuri tersebut telah berjaya membuka skru tayar belakang motorsikal saya tersebut. Namun saya rasa bersyukur kepada Allah S.W.T kerana kedua-dua kejadian tersebut tidak ada melibatkan kecederaan kepada diri saya dan isteri. Namun kedua-dua kejadian ini telah membuka mata saya bahawa mungkin ada hikmahnya disebalik kejadian tersebut. Pertama ia membuatkan saya redha sepenuhnya dan hanya berserah kepada Allah S.W.T bahawa semua yang berlaku ini mungkin ujian Allah S.W.T untuk melihat hambanya yang lemah ini dapat menerima segala musibah yang datang serta dapat menerima takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Kedua ia telah membuatkan diri saya supaya lebih berhati-hati dan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran kerana pada bila-bila masa sebarang kejadian yang tidak diingini boleh terjadi kepada diri kita serta harta benda kita. Kedua-dua kejadian ini telah benar-benar memberi kesan kepada saya bahawa nikmat kebebasan dan keselamatan yang harmoni yang selama ini wujud sudah mula terhakis. Mungkin ada banyak faktor yang mengakibatkan faktor ini terjadi, namun kita perlu menyalahkan diri kita kerana selama ini kita hanya mementingkan diri sendiri dan tidak memperdulikan orang lain. Saya berharap agar keadaan yang harmoni dan sejahtera ini akan kekal selama-lamanya. Saya juga berharap agar semua kawan-kawan dan teman-teman seperjuangan saya agar dapat berhati-hati dengan keselamatan diri, keluarga dan harta benda agar apa yang terjadi kepada saya dapat dijadi pengajaran dan tauladan kepada semua.
Sekian.

Monday, December 28, 2009

PERKHIDMATAN BAS WAKTU MALAM WAJAR DIKAJI SEMULA

Pada hari Sabtu (26.12.2009) seluruh rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan berita kemalangan Bas Ekspress yang mengorbankan 10 penumpang yang duduk di bahagian bawah bas tersebut. Kejadian ini sungguh menyayatkan hati dan telah acapkali berlaku terutamanya pada musim perayaan. Namun yang menghairankan kejadian ini akan tinggal berita untuk seketika sahaja kerana selepas ini adalah tidak mustahil kejadian seumpama ini akan terus berlaku. Dalam hal ini faktor penyumbang kepada kemalangan ngeri tersebut adalah kecuaian pemandu bas tersebut. Bas walau macam mana baik dan canggih sekalipun tetapi jika faktor cuai oleh manusia berlaku maka kemalangan akan terus berlaku. Namun manusia tetap manusia, kita hanyalah insan yang lemah yang tidak sempurna dalam banyak segi, tetapi yang boleh kita lakukan ialah dengan meminimakan risiko untuk mengelakkan kemalangan tersebut. Adalah dicadangkan agar pihak Kerajaan supaya menguatkuasakan peraturan kepada syarikat bas untuk tidak mengadakan perjalanan bas pada waktu malam terutamanya selapas pukul 7.00 malam kerana dengan ini dapat menggelakan berlakunya kemalangan ngeri akibat dari mengantuk dan letih memandu. Pemandu juga hendaklah tidak memandu melebihi 12 jam dalam satu hari supaya dapat rehat yang secukupnya dan Syarikat Bas hendaklah membuat pemantauan dengan lebih teliti dan kerap bagi setiap perjalanan bas pada waktu malam. Diharap dengan cadangan yang diutarakan ini dapat mengurangkan kemalangan bas pada waktu malam. Sekian.

Friday, November 20, 2009

PEKERJA ASING DAN PEKERJA RAKYAT MALAYSIA

Malaysia merupakan negara yang sangat bertuah dan makmur. Rakyatnya bertuah kerana memiliki segala-galanya. Dari kestabilan politik hinggalah ke makan minum sehari-hari semuanya cukup. Tidak terkecuali juga tentang peluang pekerjaan yang mana ia masih lagi dapat memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang mahu bekerja. Namun disebalik segala kemewahan yang ada tersebut masih ada juga rakyat Malaysia yang tidak mahu bekerja di sesetengah sektor seperti perladangan, perkilangan dan pembinaan yang mana jika dilihat ia dimonopoli oleh pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan lain-lain lagi. Tidak dinafikan bahawa bukan sumbangan pekerja asing ini tidak dihargai dalam pembangunan negara tetapi jika pekerja asing ini terlampau ramai akan ditakuti menyebabkan keadaan sosial masyarakat menjadi bercelaru. Dimanakah rakyat Malaysia dalam negara ini? Adakah sudah tidak ada lagi rakyat negara ini yang mahu bekerja? Rakyat Malaysia hanya tahu berseronok sahaja dan membuat perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jika dilihat rakyat Malaysia kebanyakkannya tidak berminat untuk bekerja di sektor seperti perladangan, perkilangan dan pembinaan dengan alasan gaji kecil, kerja berat dan bermacam-macam lagi alasan yang kadang-kala tidak masuk akal. Tetapi pekerja asing jika ditanya kenapa mereka berminat bekerja di sektor tersebut kerana mereka sanggup bekerja asalkan dapat mencari gaji untuk menyara keluarga mereka di tanah air asal negara mereka. Mereka menyifatkan Malaysia sebagai syurga kepada mereka dalam mencari rezeki. Namun sebaliknya rakyat Malysia hanya pandai mengatakan bahawa peluang pekerjaan tiada. Rakyat Malaysia hanya pandai berkata-kata dari berusaha bersungguh-sunguh. Oleh itu diharap agar rakyat Malaysia supaya sedar dan bangun dari tidur yang lena bahawa jika rakyat Malaysia tidak merebut peluang pekerjaan yang melimpah-ruah maka akan ditakuti pekerjaan tersebut akan diambil oleh pekerja asing. Ayuh bangunlah rakyat Malysia untuk menjadikan negara kita ini sebuah negara yang maju dan makmur.

Monday, November 9, 2009

PERPADUAN ORANG MELAYU ISLAM

Orang Melayu adalah rakyat majoriti negara ini. Namun saya juga sedih melihat ada dikalangan orang Melayu sendiri yang berpecah belah. Orang Melayu mesti bersatu padu tidak kira apa ideologi politik yang mereka anuti. Orang Melayu zaman kemerdekaan dahulu bersatu padu kerana mahu menuntut kemerdekaan, sebab itu Inggeris terpaksa tundak dengan desakan orang Melayu pada zaman tersebut. Orang Melayu zaman sekarang tidak lagi seperti dahulu kerana masing-masing merasakan sudah senang-lenang dan tiada apa lagi yang hendak diperjuangkan. Orang Melayu masing-masing ingin memperjuangkan agenda mereka tersendiri tanpa memperdulikan nasib kaum mereka jika berpecah. Janganlah kita berpecah kerana jika tidak bersatu padu maka orang lain akan senang untuk mengambil kesempatan terhadap kelemahan kita. Saya risau kerana pada masa hadapan kita tidak tahu apa akan terjadi jika kita orang-orang Melayu tidak bersatu padu bermula dari sekarang. Maka sedarlah wahai orang Melayu jangan kita dijajah dibumi sendiri. Ayuh! bangunlah Orang Melayu jangan tidur dan leka dengan kesenangan dan kemewahan ini. Bangunlah demi bangsa dan tanah air tercinta ini.

Tuesday, October 20, 2009

RAKYAT DIDAHULUKAN

Semalam saya ada melihat sidang Parlimen dimana PM Najib ada memberi ucapan di Parlimen. Salah satu ucapan beliau yang saya amat bersetuju dengan PM ialah Kerajaan akan mendahulukan keselesaan rakyat dati segala-galanya. Kenyataan itu mencerminkan bahawa kerajaan yang ada sekarang amat menitikberatkan kebajikan rakyat dimasa yang susah ini. Kenyataan ini juga mencerminkan bahawa polisi kerajaan sekarang teralih kepada kehendakan dan kemahuan rakyat jelata. Semua polisi Kerajaan akan lebih mengutamakan rakyat. Diharapkan Kerajaan akan dapat memberi segala kemudahan dan keselesaan dalam Budget 2010 yang akan dibentangkan pada hari Jumaat ini. Sama-samalah kita lihat apa yang Kerajaan yang ada sekarang akan dapat memberi gula-gula kepada Rakyat. Hidup 1 Malaysia.